mutakhir

Dipukul hingga membawa maut

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

AKIBAT cemburu, lelaki berusia 22 tahun dipukul hingga parah oleh beberapa lelaki sebelum meninggal dunia di garaj lori di Kampung Bagus, Rantau Panjang, Isnin lalu.

Mangsa Mohamad Noralimin Hafis Osman dari Kota Bharu meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, 5.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, siasatan polis mendapati kejadian itu berpunca daripada cemburu.

“Pada hari kejadian, mangsa dipukul beberapa lelaki sebelum dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan sebelum dirujuk ke HUSM dan meninggal dunia akibat cedera di kepala.

“Susulan itu polis menahan lelaki berusia 30-an 8 malam semalam di Lubok Setol,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdullah berkata, setakat ini polis masih belum menemui sebarang objek yang digunakan dalam kes itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 9:57pm
d