mutakhir

Henti segera korek pasir

Oleh Hassan Omar

JABATAN Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka mengarahkan syarikat swasta yang diberikan projek mengorek pasir di Sungai Rembau, Lubok Cina, dekat sini, menghentikan sementara projek itu.

Ini kerana JPS mendapati sejak syarikat itu menjalankan kerja mengorek pasir sebulan lalu, tebing sungai berkenaan rosak selain kesalahan jarak pasir yang dikorek dari tebing dan kerosakan pokok di tebing sungai.

Pengarahnya Abdul Hakim Hamzah berkata, JPS mengeluarkan surat arahan berkenaan awal minggu ini dan syarikat itu diminta menjawab beberapa aspek yang dipercayai gagal dipatuhi dalam melaksanakan kerja mengorek pasir.

“Syarikat itu sudah memberikan jawapan mengenai kerja pembaikan yang dilakukannya dan pegawai JPS akan meneliti aspek berkenaan bagi memastikan syarikat itu benar-benar mematuhi syarat operasi,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi negeri, Norhizam Hassan Baktee, bahawa kerja mengorek pasir itu sudah diarah dihentikan sementara berikutan kegagalan syarikat berkenaan mematuhi beberapa syarat operasi.

Norhizam berkata demikian apabila menerima memorandum daripada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Paya Lebar, Kahar Jodin, yang membantah projek itu diteruskan selepas menghadiri program melepaskan benih udang galah di Sungai Rembau, Selasa lalu.

Exco terbabit berkata, beliau menerima pelbagai rungutan nelayan sungai terutama di Kampung Paya Lebar berhubung projek yang didakwa mereka memusnahkan sumber perikanan, termasuk udang galah.

Berdasarkan memorandum itu, syarikat terbabit diberikan kelulusan menjalankan kerja itu oleh Kerajaan Melaka melalui Ketua Menteri Diperbadankan (CMI) untuk mengorek pasir sungai sepanjang empat kilometer dari Tebing Tinggi hingga Tebing Urut.

Bagaimanapun, ia dibimbangi merosakkan ekosistem Sungai Rembau, sekali gus mengancam pembiakan ikan dan udang galah yang menjadi sumber rezeki nelayan.n.

di kampung berkenaan.

Sehubungan itu, memorandum berkenaan mendesak syarikat terbabit menghentikan sementara projek sehingga laporan penilaian alam sekitar (EIA) dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar, selain wakil syarikat perlu berdialog dengan nelayan mengenai projek dijalankan.

Disiarkan pada: April 12, 2019 @ 6:10am
d