mutakhir

Honda City 'terjun' Sungai Klang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI cedera di bahagian tangan kiri dan belakang badan apabila kereta dipandunya terjatuh ke dalam Sungai Klang, berhampiran Menara UOB, Jalan Kuching menghala pusat bandar, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, lelaki berusia 22 tahun terbabit berjaya keluar daripada keretanya dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Superintendan Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit yang memandu kereta Honda City dari arah Sri Sina Segambut menghala ke pusat bandar untuk bertemu dengan rakannya.

“Ketika kejadian, mangsa memandu di lorong tengah. Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa hilang kawalan dan melanggar bahu jalan di sebelah kiri.

“Akibat kemalangan itu, mangsa bersama kereta dipandunya terjunam ke dalam sungai berkenaan menyebabkan mangsa cedera pada tangan kiri dan belakang badan,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 5.49 pagi tadi.

“Seramai 13 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan BBP Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati sebuah kereta Honda City terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

“Difahamkan pemandu kereta terbabit berjaya keluar sendiri dari kenderaan itu sebelum jentera tiba dan hanya cedera,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: April 12, 2019 @ 10:18am
d