mutakhir

FAMA sekat cili merah dari Vietnam di semua outletnya

Oleh Mohd Rafi Mamat

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bertindak tegas menghalang penjualan cili merah dari Vietnam di semua outletnya kerana didapati mengandungi kadar peratusan racun melebihi yang ditetapkan kerajaan.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, usaha berkenaan mendapat sokongan sepenuhnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan yang memandang serius kes membabitkan racun yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk negara ini.

Katanya, kawalan sudah dilakukan di semua pintu masuk negara selain operasi pemeriksaan di semua 750 pasar tani seluruh negara.

“MOA melalui Jabatan Pertanian serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sudah melaksanakan sekatan kemasukan cili berkenaan.

“Di bawah Peraturan Label Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL) FAMA, kita tiada halangan asalkan mereka mematuhi peraturan berkenaan.

“Bagaimanapun, kes cili merah dari Vietnam ini kita membantu Jabatan Pertanian dan MAQIS menghalang kemasukan ke negara ini,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Tani Kekal Pekan, di sini, semalam.

Turut sama hadir Pengarah FAMA Pahang, Rosli Aw Da.

Ishak berkata, pihaknya sudah memaklumkan peniaga sayuran di semua pasar tani seluruh negara supaya tidak menjual cili merah Vietnam bagi mengelak barang jualan mereka dirampas.

“Cili merah berkenaan dijual pada harga lebih rendah berbanding cili tempatan, namun ia membahayakan kesihatan pengguna.

“Sekatan terhadap kemasukan cili merah Vietnam itu menyebabkan bekalan cili di pasaran tempatan terutama di pasar tani, pasar borong dan pasar besar berkurangan, namun FAMA sudah mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah itu,” katanya.

Menurutnya, permintaan terhadap cili di negara ini sentiasa bertambah hingga memaksa hasil pertanian berkenaan diimport dari beberapa negara luar termasuk Vietnam.

“Untuk memastikan bekalan cili sentiasa mencukupi dan tidak terlalu bergantung kepada cili import saya berharap lebih ramai pekebun menanam cili secara komersial.

“Saya difahamkan harga cili import itu antara RM12 hingga RM15 sekilogram, setiap kali tiba musim perayaan harganya meningkat dua hingga tiga kali ganda disebabkan permintaan tinggi dan bekalan tidak mencukupi.

“FAMA akan membantu petani yang mengusahakan tanaman sayuran termasuk cili dengan cara memberi bantuan peralatan dan baja, mereka perlu mendaftar sebagai peserta ladang kontrak FAMA daerah dan negeri,” katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2019 @ 10:37am
d