mutakhir

Abang polis serba boleh

Oleh Amran Yahya

MENERIMA laporan, menyiasat, menahan suspek, merampas barangan dicuri dan menyerahkan semula kepada pemilik asal.

Itu khidmat terbaik dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah apabila menyerahkan semula satu unit pendingin hawa dicuri di Masjid Kampung Kabong Inas, Johol, Kuala Pilah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, penyerahan dilakukan wakilnya, Asisten Superintendan Abd Hamid Abd Rahman, 10 pagi tadi.

Katanya, pihak masjid pula diwakili pengerusinya Abd Aziz Md Tehe, majlis itu turut dihadiri Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, Asisten Superintendan Norazuan Said.

Menurutnya, penyerahan dibuat selepas siasatan kes selesai dan suspek berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, 22 Mac lalu.

Haslah berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurusan masjid, pada 20 Februari lalu mengenai alat pendingin hawa berkenaan yang dicuri.

“Hasil risikan dan siasatan kami menahan seorang lelaki berusia 30-an sekitar daerah ini, suspek mengaku mencuri pendingin hawa itu.

“Hari ini, kami serahkan semula pendingin hawa itu kepada pihak masjid dan berpuas hati kerana dapat berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Malah katanya, sepasukan anggotanya membantu memasang semula pendingin hawa berkenaan di tempat asalnya.

Sementara itu Abd Aziz berkata, pendingin hawa di ruang solat wanita itu dibeli menggunakan wang masjid pada Jun 2015 sebelum ia dicuri.

Disiarkan pada: April 12, 2019 @ 2:31pm
d