mutakhir

Sorok dadah dalam bantal

Oleh Norsyazwani Nasri

TAKTIK seorang pelajar menyembunyikan dadah di dalam bantal membongkar kegiatan haramnya selama ini selepas dia ditahan di depan sekolahnya, di Kanowit, 9 pagi semalam.

Pelajar berusia 17 tahun itu yang dilihat dalam keadaan mencurigakan ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit diketuai Inspektor Shazrin Nizam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kanowit, Asisten Superintendan Mohd Faisal Nawi berkata, ujian saringan air kencing dijalankan turut mendapati pelajar terbabit positif dadah.

“Selepas melakukan pemeriksaan pada badan suspek tiada dadah dijumpai, namun hasil soal siasat, suspek mengaku mengambil bahan terlarang itu dengan bekalannya disimpan di rumah.

“Susulan itu kami ke rumah suspek dan melakukan pemeriksaan dalam bilik tidur, hasilnya kami menemui satu paket plastik warna kuning dan satu paket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu disembunyikan di dalam bantal,” katanya.

Mohd Faisal berkata, dadah berkenaan dianggarkan seberat 2.2 gram dan pihaknya menahan suspek untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan akan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu,” katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2019 @ 2:57pm
d