mutakhir

Wanita ditumbuk jiran lelaki

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG wanita berusia 34 tahun menanggung kesakitan selepas ditumbuk jirannya akibat perselisihan faham dalam kejadian di Kuala Nerus, 11.50 pagi Rabu lalu.

Pergaduhan itu dipercayai berpunca akibat rasa tidak puas hati mangsa terhadap lelaki berkenaan yang memarahi bapanya.

Menurut sumber, suspek berusia 60-an dikatakan pernah mengajak bapa mangsa bertumbuk sebelum ini.

Katanya, mangsa yang tidak berpuas hati memaklumkan perkara itu kepada isteri suspek.

“Mungkin disebabkan kata-kata mangsa, suspek menumbuk muka wanita terbabit menyebabkan dia berasa sakit di bahagian lidah, rahang pipi kiri dan belakang kepala.

“Ketika kejadian mangsa mendukung anaknya dan tindakan suspek menyebabkan dua beranak itu terjatuh sebelum dia melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit pada hari sama untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Disiarkan pada: April 12, 2019 @ 5:00pm
d