mutakhir

'Syukur ibu selamat'

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

“NASIB baik jiran beritahu rumah terbakar sebelum saya sempat selamatkan ibu,” kata Zabidah Mat Yaacob, 50, selepas rumah ibunya di Kampung Changgai, Pasir Puteh, musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.

Dalam kebakaran 1.40 tengah hari itu, sebuah kereta Proton Wira turut musnah dijilat api.

Zabidah berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya terletak beberapa meter dari kediaman ibunya Siti Noh Salleh, 73.

Katanya, secara tiba-tiba dia terdengar jeritan jiran yang memberitahu rumah ibunya itu terbakar.

“Saya terus bergegas ke rumah ibu, mujur ketika itu dia sudah berada di depan pintu.

“Ketika itu ibu bawa bersama perkakas rumah sempat dicapainya tapi saya letakkan semula barangan itu kerana api sedang marak.

“Walaupun kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa termasuk dokumen penting, saya bersyukur ibu selamat,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.49 tengah hari dan tiba di lokasi kebakaran 10 minit kemudian.

“Kedudukan rumah mangsa yang jauh dari jalan utama menyebabkan anggota operasi terpaksa berulang-alik untuk mendapatkan bekalan air.

“Api dipadamkan sepenuhnya pada 3.15 petang, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya

Disiarkan pada: April 12, 2019 @ 6:12pm
d