mutakhir

Nasib baik masih boleh merangkak

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

WANITA warga emas terpaksa merangkak untuk menyelamatkan diri selepas kediamannya di Kampung Tebuk Buluh Selekoh, Hutan Melintang, terbakar hari ini.

Dalam kejadian 1.45 tengah hari, wanita berusia 67 tahun itu cedera pada lengan akibat bahang panas.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, Rosli Wan Chik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.49 tengah hari.

Menurutnya, ketika kejadian wanita berkenaan tinggal seorang diri di rumah berikutan suaminya ke masjid untuk solat Jumaat.

Katanya, wanita berkenaan juga kurang sihat dan tidak berdaya untuk berjalan.

“Jiran menyedari kejadian kemudian menghubungi bomba, kebakaran memusnahkan 80 peratus rumah mangsa.

“Mangsa hanya sempat menyelamatkan beg tangan mengandungi dokumen penting saja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosli berkata, siku wanita berkenaan juga mengalami calar akibat terkena batu ketika merangkak dan dia dikejarkan ke Klinik Kesihatan Rungkup untuk diberi rawatan.

“Operasi mengambil masa hampir dua jam kerana kami perlu memastikan api padam sepenuhnya.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi tamat pada 4.50 petang,” katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2019 @ 9:12pm
d