mutakhir

'Tak bina rumah mampu lihat saja'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

KERAJAAN Negeri Sembilan memberi jaminan akan terus membangunkan rumah mampu milik untuk membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti lokasi pembinaan rumah untuk dijual pada harga antara RM90,000 hingga RM250,000 sebuah.

Beliau berkata, rakyat Negeri Sembilan perlu terus memberikan keyakinan kerana pelbagai projek pembangunan akan dilaksanakan.

“Kerajaan negeri akan bangunkan lebih banyak rumah mampu milik. Bukan rumah mampu lihat.

“Kami hargai sokongan penjawat awam dan rakyat negeri ini dan kerajaan negeri akan terus membangunkan Negeri Sembilan,” katanya dalam Majlis Grand Finale Kempen Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di Bandar Sri Sendayan, Rembau, malam ini.

Aminuddin yang juga Pengarah PRK DUN Rantau berkata, Rantau dan Sendayan akan menikmati nikmat pembangunan selepas kawasan perindustrian baru dibangunkan di Nilai, tidak lama lagi.

Katanya, pelabur sudah memberi persetujuan untuk melabur di kawasan perindustrian selepas mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri minggu lalu.

“Kerajaan negeri akan teruskan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan.

“Bila kawasan industri sudah dibangunkan, potensi pekerjaan akan semakin banyak untuk diisi rakyat negeri ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 12:24am
    d