mutakhir

22 kali juara

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

HONDA EX5 miliknya digelar ‘cermin bergerak’ kerana keadaannya yang kilat berkilau ketika dijamah cahaya matahari kesan penggunaan warna krom pada keseluruhan jentera berkenaan.

Sungguhpun begitu, Honda EX5 ini ada keunikan tersendiri hasil kreativiti pemiliknya melakukan pengubahsuaian warna.

Motosikal milik Haslam Sani Mohd Rodi, 25, memenangi banyak pertandingan pertunjukan motosikal yang disertai sejak 2017.

Sehingga kini, Honda EX5 berkenaan menjuarai 22 pertandingan.

Pemilihan warna dan aksesori krom menjadikan kapcai berkenaan tampil mewah serta ada gaya tersendiri.

Haslam Sani berkata, dia melakukan pengubahsuaian bagi memenuhi hobinya yang ingin menampilkan kelainan pada Honda EX5 kesayangan.

Katanya, kerana itu dia tidak menyesal menghabiskan RM6,000 semata-mata mengubah penampilan motosikal terbabit.

“Saya beli motosikal ini pada 2011 pada harga RM5,000 dengan warna asal merah tua.

“Saya membuat pengubahsuaian berperingkat dan lengkap sepenuhnya pada Disember 2017.

“Pada tahun itu, saya menyertai pertandingan pertunjukan motosikal dan bersyukur dinobatkan juara,” katanya.

Anak sulung tiga beradik itu berkata, penyertaan dalam pertandingan bukan kerana memburu hadiah semata-mata, tetapi mahu berkongsi hobi dan hasil pengubahsuaian motosikal dengan orang lain.

Menurutnya, nilai Honda EX5 itu mencecah RM11,000 kerana kos mengubah suai jentera berkenaan tinggi selain sebahagian alat gantinya dibeli dari Indonesia juga Singapura.

“Sepasang lampu isyarat motosikal saya beli di Indonesia pada harga RM250 manakala dua pasang rim dari Singapura saya beli pada harga RM5,600.

“Aksesori paling mahal ialah sepasang rim yang dilengkapi simbol Jaguar dari Singapura bernilai RM3,800.

“Rim ini terhad, luar biasa serta sukar diperoleh,” katanya yang menetap di Meru, Klang.

Katanya, dia juga lali menjadi tumpuan termasuk pengguna lebuh raya setiap kali menunggang motosikal berkenaan di lebuh raya.

“Dulu memang kekok dan malu, tetapi sekarang tidak lagi apabila ada yang merakam ketika saya menunggang motosikal ini.

“Jika saya singgah di mana-mana kedai atau stesen minyak, pasti ada yang ingin berswafoto,” katanya.

Dalam pada itu, dia tidak berhasrat menjual Honda EX5 berkenaan walaupun ditawarkan pada harga tinggi kerana ia mempunyai nilai sentimental dengan dirinya.

Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 6:01am
d