mutakhir

Aku tak kesal

Oleh Ramli Ibrahim

SEORANG pemuda sanggup berhenti kerja sebagai pegawai bank di Kuala Lumpur untuk mengambil alih ternakan ikan kelah milik bapanya di Kampung Lepan Jaya di sini, sejak setahun lalu.

Tindakan berani diambil Ibrahim Mat Nawi, 24, nyata membuahkan hasil apabila menjadi anak muda pertama di negeri ini berjaya melakukan pembenihan dan penetasan anak ikan kelah.

Kebolehan dimiliki Ibrahim yang memiliki Ijazah Perbankan dari Universiti Islam Antarabangsa menerima pujian banyak pihak termasuk Jabatan Perikanan Malaysia.

Ibrahim berkata, dia sempat bekerja sebagai pegawai bank dalam tempoh lebih setahun sebelum membuat keputusan berhenti.

Katanya, dia mengakui ramai pihak terutama rakan tidak setuju dengan tindakannya itu namun dia nekad untuk beralih bidang sebagai penternak ikan kelah di kampungnya.

“Biarpun bertugas sebagai pegawai bank, gaji yang saya peroleh tidak dapat menampung kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur.

“Selepas dinasihatkan bapa, saya nekad pulang ke kampung menjadi penternak ikan kelah.

“Kemahiran melakukan pembenihan dan penetasan anak ikan kelah diperoleh selepas mengikuti kursus di Pusat Latihan Jabatan Perikanan Malaysia di Serdang, Selangor.

“Alhamdulillah, saya memperoleh pendapatan lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, dia kini memiliki lapan kolam ikan di kawasan seluas lima hektar di kampung itu.

“Selain memiliki 9,000 ikan kelah, saya turut menternak tilapia (40,000), patin (25,000) dan tongsang (3,000),” katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 6:10am
d