mutakhir

Saat hidayah menyapa [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

DIPUKUL teman lelaki, dicekup polis, bergelumang dengan dadah dan seks terlarang selain disisih keluarga serta masyarakat adalah antara pengalaman hitam sedang dilupakan seorang mak nyah.

Beberapa kali cuba berhijrah untuk menjadi lelaki tulen, namun terkandas dan berpatah kembali ke kancah Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) disebabkan faktor diri tidak kuat melawan godaan selain persekitaran dan persepsi masyarakat yang memandang hina komuniti itu.

Terjebak bermula dari kecil susulan ibu bapa yang terlalu menginginkan anak perempuan, Amar, 37 (bukan nama sebenar) mengakui terlalu banyak sisi gelapnya yang ingin ditinggalkan dan mahu bertaubat serta membina kehidupan baru.

Jurujual itu bersyukur diberi hidayah untuk berubah dan dibantu seorang wanita istimewa yang sanggup membuka hati menerimanya sebagai suami selepas yakin dia sudah berubah ke fitrah asalnya.

“Sejak kecil saya dipakaikan pakaian wanita kerana adik-beradik ramai lelaki (lima lelaki dua perempuan) dan keluarga menginginkan anak bongsu perempuan.

“Apabila dewasa penampilan itu kekal dan menjadi lebih serius bila mengenali rakan yang mempunyai kecenderungan ke arah kewanitaan serta lebih bernafsu terhadap lelaki,” katanya.

Amar berkata, sepanjang terjebak dalam gejala itu pelbagai pengalaman dilalui termasuk cuba dilacurkan, disihir dan lebih teruk dibelasah teman lelaki hingga menjadi kes polis.

“Wasiat ibu sebelum meninggal dunia yang inginkan saya memandi serta mengkafankan jenazahnya turut membuatkan saya bertekad berubah namun macam-macam godaan saya alami hingga sering kali gagal.

“Alhamdulillah akhirnya saya diberi hidayah dan hati saya yang sebelum ini tidak pernah terpikat pada wanita berubah hingga jatuh hati pada rakan sekerja yang kini menjadi isteri saya yang sah,” katanya yang baru mendirikan rumah tangga pada Februari lalu.

Menurutnya, dia bersyukur kerana isteri sanggup menerima dia seadanya walaupun mengetahui sejarah silamnya dan perkara itu banyak membantu dalam usaha dia berubah serta membina hidup baru.

“Baru saya sedar seronok rupanya berkahwin, dulu ibu tempat saya mengadu semua perkara dan bila ibu tiada saya hilang arah, kini adanya isteri dia banyak memberi sokongan menjadikan saya lebih tenang dan sedar tanggungjawab sebagai ketua keluarga selain ahli keluarga turut gembira serta membantu proses perubahan ini.

“Pihak kerajaan, agensi agama, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti LGBT yang sudah dan sedang berubah juga banyak membantu terutama dari segi sokongan moral, mendalami ilmu agama dan sebagainya,” katanya.

Amar berkata, selama ini pihak berkuasa hanya menekankan penguatkuaasaan dalam menangani gejala ini, namun perubahan positif berlaku apabila lebih banyak usaha pemulihan dijalankan membabitkan program dakwah, bantuan kewangan selain aktiviti merapatkan komuniti LGBT yang ingin berubah ini dengan masyarakat.

“Dengan adanya bantuan dan sokongan seperti ini saya yakin ramai lagi golongan seperti ini akan dapat berubah dan kembali diterima masyarakat, namun apa yang penting adalah individu itu sendiri kerana semua yang berlaku ini adalah salah sendiri dalam memilih jalan berkenaan,” katanya.

“Maka perubahan perlu bermula daripada kami sendiri, jika tidak mahu mengubah diri sendiri sukar pihak lain ingin membantu, jadi kuatkan diri dan dalami agama pasti berjaya hadapi segala dugaan hidup ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 6:20am
d