mutakhir

Berlian merah jambu dibayar 1MDB

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai bukti berlian merah jambu yang dikaitkan dengan isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor memang dibeli menggunakan wang milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan wang Haram (AMLA) Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Khalil Azlan Chik berkata, siasatan dijalankan polis menunjukkan jejak kewangan bagi transaksi pembelian berlian merah jambu itu yang bernilai AS$23 juta memang dibayar menggunakan wang 1MDB.

“Merujuk kepada penafian Datin Seri Rosmah Mansor mengenai pembelian berlian merah jambu yang tular di media sosial kebelakangan ini, PDRM ingin menjelaskan mempunyai bukti ia dibeli menggunakan wang 1MDB.

“Berdasarkan siasatan jejak kewangan yang dijalankan, berlian itu dibeli dengan harga AS$23 juta daripada seorang peniaga barang kemas di New York, AS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Khalil berkata, berlian berkenaan gagal ditemui ketika serbuan dijalankan polis namun polis mempunyai bukti terkumpul yang jelas mengenai transaksi pembeliannya.

Sebelum ini, Rosmah dilaporkan menzahirkan rasa syukur selepas isu pembelian berlian berkenaan yang mengaitkan dirinya terbukti hanya satu fitnah.

Katanya, isu itu hanya modal pembangkang bagi memburukkan dirinya serta suami, Datuk Seri Najib Razak bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 11:07am
d