mutakhir

Hadiah pencen untuk ayah

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

“TAHUN ini ujian terbesar dalam hidup saya kerana bukan saja kematian isteri malah anak bongsu,” kata Abdul Aziz Othman, 63, yang menerima kehadiran Skuad Perkeso Prihatin Seremban di rumahnya di Taman Pinggiran Senawang, Seremban, semalam.

Menurut Abdul Aziz, dia reda dengan ketentuan Allah apabila kehilangan dua insan tersayang dalam tempoh empat bulan.

Isterinya, Norlela Gani meninggal dunia pada 19 Januari lalu sebelum anak bongsu daripada empat beradik, Mohd Nazrin, 25, maut dalam kemalangan, 1 April lalu.

“Arwah ketika itu memandu Proton Wira dari Kuala Pilah pulang ke Seremban. Setibanya di Bukit Putus, kereta hilang kawalan, terbabas lalu merempuh kenderaan lain,” katanya menceritakan kejadian kepada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan, M Nallusamy.

Menurut Abdul Aziz, arwah meninggal dunia di lokasi dan sepatutnya bernikah dengan tunangnya yang dijadualkan Julai depan.

“Ini kuasa Allah dan Dia lebih mengetahui,” katanya.

Sementara itu, Nallusamy berkata, siasatan mendapati Mohd Nazrin layak menerima sumbangan kerana bekerja sebagai posmen di Nilai antara Oktober 2015 hingga Ogos 2017.

Biarpun sudah bekerja sendiri, arwah pernah mencarum bersama Perkeso yang membolehkannya menerima pembayaran faedah kepada waris.

“Semalam, pihak kami menyerahkan RM2,000 bagi faedah pengurusan mayat. Pada masa sama, waris akan menerima bayaran bulanan pencen Penakat sepanjang hayat,” katanya.

Menurutnya, Perkeso sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada setiap pencarum manakala setiap kejadian dipaparkan di media massa akan diambil tindakan.

Portal berita akhbar ini pada 1 April lalu melaporkan Mohd Nazrin maut dalam kemalangan yang membabitkan dua kereta di Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat Bukit Putus, Seremban.

Dalam kejadian 5.20 petang, mangsa maut di lokasi akibat parah di kepala serta badan manakala pemandu Nissan Almera, Muammar Musa, 30, cedera.

Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 1:32pm
d