mutakhir

[UPDATE] Jual motosikal demi Ainul Mardhiah

Oleh Nur Saliawati Salberi

“HARTA dunia boleh dicari tetapi nyawa tiada gantinya,

apa yang penting kesembuhan buat Ainul Mardhiah,” kata Mohd Khairul Anuar Salleh, 35.

Mohd Khairul antara individu prihatin yang tampil menghulurkan bantuan kepada bayi lapan bulan itu, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menghidap ketumbuhan Germ Cell Tumor di bahagian mulutnya.

Mohd Khairul sanggup menjual motosikal Honda C70 kesayangannya yang sudah diubah suai bagi membantu kos rawatan anak kecil itu yang kini berjuang melawan penyakit itu sejak lahir.

Meskipun tiada talian persaudaraan dengan bayi itu, bapa kepada seorang cahaya mata itu nekad menghulurkan bantuan bagi membantu Ainul Mardhiah.

“Selepas melihat kisah Ainul Mardhiah tular di laman sosial, saya asyik terfikir mengenainya sehinggakan tidak dapat lelapkan mata. Besarnya dugaan yang perlu diharungi anak kecil itu.

“Saat melihat sendiri keadaannya di hospital (Hospital Melaka), saya tewas dan hanya Allah SWT saja yang tahu perasaan saya ketika itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohd Khairul, selain doa semoga Ainul Mardhiah terus kuat melawan penyakitnya, dia membuat keputusan mahu menjual motosikal kesayangannya kepada yang berminat dan wang berkenaan akan diberikan kepada keluarga bayi itu dalam usaha merawatnya.

Katanya, walaupun sudah berhabis ribuan ringgit membaiki dan ubah suai motosikal itu namun itu tidak penting asalkan niat ikhlas mahu membantu tercapai.

“Harga yang ditawarkan untuk motosikal ini ialah RM2,800 dan mereka yang berminat boleh membuat bayaran atau lakukan transaksi pindahan wang ke akaun bank milik bapa Ainul Mardhiah serta motosikal itu akan berpindah milik.

“Ramai yang sudah menelefon bertanyakan motosikal itu, namun kebanyakan mereka tinggal jauh dari Melaka dan insyaAllah jika ada rezeki Ainul Mardhiah pasti akan terjual,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 6:00pm
    d