mutakhir

Menyorok konon...

Oleh Siti Rohana Idris

EMPAT wanita pelayan pelanggan (GRO) menyorok di dapur apabila premis hiburan di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Kota Bharu, diserbu pihak berkuasa, hari ini.

Dalam operasi 1 pagi, cubaan mereka meloloskan diri tidak berjaya apabila warga Thailand itu ditemui anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan.

Serbuan Op Kutip dan Gegar di tingkat atas premis hiburan itu turut disertai pasukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kelantan Penolong Pengarah Imigresen Ruzaana Mohamed berkata, operasi dijalankan bermula 1 hingga 2 pagi membabitkan dua premis hiburan di bangunan sama.

“Di lokasi pertama, empat GRO cuba bersembunyi di dapur namun berjaya dikesan pihak berkuasa.

“Di sebuah lagi premis, kita berjaya menahan 10 GRO yang asyik melayan pelanggan, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 23 hingga 46 tahun itu mendapati mereka tinggal lebih masa dan melanggar syarat permit.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 6:01pm
d