mutakhir

[TAK RASMI] Tok Mat 'monang' di Rantau

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

KEPUTUSAN tidak rasmi menyaksikan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan terus mendapat mandat rakyat selepas berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, hari ini.

Mohamad, 62, yang juga penyandang kerusi DUN Rantau mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram, 64, dengan majoriti 3,800 undi.

Kemenangan Mohamad atau sinonim dengan panggilan Tok Mat sekali gus menidakkan hasrat dua calon bebas iaitu Mohd Nor Yassin, 67, dan R Malarvizhi, 51.

Dalam persaingan empat penjuru itu, Mohamad memperoleh 8,442 undi manakala Dr Streram 4,642 undi hasil kiraan 46 daripada 56 peti undi.

Manakala Mohd Nor dan Malarvizhi masing-masing hanya mendapat 66 dan 67 undi.

Keputusan tidak rasmi itu dipaparkan di Pusat Penjumlahan Undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan.

Penguasaan BN di Rantau sekali gus mencipta 'hatrik' selepas memenangi PRK Parlimen Cameron Highland dan DUN Semenyih baru-baru ini.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Mohamad yang juga Pemangku Presiden UMNO menang tanpa bertanding selepas Dr Streram gagal menyerahkan borang pencalonan pada 9 Mei 2018.

Dr Streram merangkap Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau kemudian memfailkan petisyen pada 23 Mei 2018 untuk membatalkan keputusan Suruhajaya Pilihan Raya (SPR).

Pada 29 November 2018, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan kemenangannya itu yang dibatalkan.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun menolak petisyen difailkan Tok Mat untuk mengetepikan keputusan sebelum itu dan mengisytiharkan kemenangannya terbatal dan tidak sah.

Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 7:13pm
d