mutakhir

Polis terima 84 laporan letupan RAPID

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SEBANYAK 84 laporan polis diterima berhubung insiden letupan di tapak projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang, Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah berkata, laporan itu dibuat penduduk di Balai Polis Sungai Rengit dan Balai Polis Pengerang.

“Kami mengesahkan keadaan sudah terkawal sepenuhnya dan tiada insiden susulan berlaku. Setakat ini, hanya 84 laporan polis dibuat penduduk sekitar berhubung insiden itu.

“Kami menasihatkan orang ramai tidak panik dan jangan menyebarkan berita tidak benar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, menyebarkan berita palsu adalah kesalahan jenayah dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, orang ramai dinasihati mendapatkan maklumat daripada sumber tepat dengan menghubungi balai polis berhampiran.

Dalam kejadian 1.25 pagi semalam, dua pengawal keselamatan cedera susulan letupan di satu lot tapak projek RAPID.

Pengawal keselamatan berusia 28 dan 30 tahun itu cedera dan dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Kecemasan Perubatan RAPID Pengerang.

Ahsmon berkata, pasukan Tindak Kecemasan (ERT) PETRONAS RAPID Pengerang menggunakan lima kenderaan dengan kekuatan 30 anggota berjaya memadam dan mengawal kebakaran sepenuhnya 2.15 pagi.

Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 8:15pm
d