mutakhir

Hajat memancing tak kesampaian

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

WARGA emas meninggal dunia di atas bot di Jeti Nelayan Kampung Raja Bashah, Kuala Kurau, Parit Buntar, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, Abu Talib Sa’ad,61, dari Kamunting, Taiping, datang ke Kuala Kurau bersama rakannya dipercayai untuk memancing di kawasan itu.

Sumber berkata, mangsa dan rakannya kemudian menaiki bot sebelum mangsa rebah dan tidak sedarkan diri di atas bot.

“Penduduk dan rakan mangsa kemudian mendapatkan bantuan sebelum pasukan perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 1:39pm
d