mutakhir

'Saya dah tua...ini saja tau'

Oleh Hadzlihady Hassan

“SAYA sudah tua, belajar pun tak pandai... ini saja tau (jual nombor ekor),” kata lelaki warga emas yang ditahan kerana menjual nombor ekor di sebuah premis di Butterworth semalam.

Lelaki berusia 63 tahun itu cuba meraih simpati dengan memberi alasan dia sudah tua serta tidak mampu membuat kerja berat ketika ditahan sepasukan polis dalam Op Dadu dengan harapan dapat dilepaskan.

Bagaimanapun, taktik dan ayat simpati digunakannya tidak berhasil apabila dia bersama-sama enam lagi lelaki dibawa ke balai kerana menjalankan perniagaan judi loteri haram.

Dalam serbuan bermula 12 tengah hari itu, tujuh premis masing-masing di Butterworth dan Kepala Batas diserbu sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan terbabit diketuai dua pegawai bersama 15 anggota.

“Dalam serbuan itu, kita menahan pekerja terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita berusia 23 hingga 63 tahun kerana disyaki terbabit menjalankan perniagaan judi loteri tanpa lesen.

“Kita turut merampas 14 keping slip kertas dipercayai nombor ekor haram, tujuh telefon bimbit, tujuh mesin pencetak pelbagai jenama dan sejumlah wang tunai,” katanya.

Menurutnya, semua barang rampasan terbabit akan dihantar kepada pakar judi untuk dianalisa dan kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 5:18pm
d