mutakhir

KPLB tawar 30,000 peluang TVET

Oleh Farah Suhaidah Othman

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menawarkan sebanyak 30,000 peluang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada golongan belia menerusi empat agensi di bawah kementerian itu di seluruh negara setiap tahun.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sebanyak 345 program ditawarkan menerusi pelbagai institut kemahiran di bawah agensi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Katanya, program ditawarkan itu bukan sahaja membabitkan program pendidikan dan kemahiran malah membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat luar bandar terutama golongan belia yang menyertai program berkenaan.

“Selain menyediakan latihan kemahiran, kita lihat KPLB turut mengadakan kerjasama bersama rakan strategi industri untuk menawarkan peluang pekerjaan bagi pelajar yang tamat kursus TVET di insitusi pengajian KPLB.

“Secara keseluruhannya, kebolehpasaran pelajar selepas melanjutkan TVET di KPLB melebihi 70 peratus, yang mana MARA sebanyak 85 peratus manakala PERDA sebanyak 74 peratus, ini yang kita lihat bahawa di KPLB bukan sahaja memberikan kemahiran namun mensasarkan pelajar untuk mendapat pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Ekspo TVET@KPLB di Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) di Ipoh, hari ini.

Rina berkata, pihaknya turut melihat potensi pelajar di bawah kementeriannya untuk mendapat peluang bekerja di Jepun berikutan terdapat permintaan daripada negara matahari terbit itu.

“Sebenarnya apa yang kita lihat dulu, hanya dalam negara kerana kita masih kekurangan pekerja mahir.

“Bagaimanapun, kita sudah ada permintaan, jadi tidak salahnya memberi peluang kepada mereka untuk memiliki pengalaman bekerja atau pendedahan (bekerja) ke luar negara dan kita dalam perancangan untuk bekerjasama dengan negara Jepun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata seramai 8,145 pelajar luar bandar menerima bantuan yang keseluruhannya berjumlah RM13.5 juta menerusi Bantuan Pendidikan Akaun Amanah Bakti Desa KPLB pada tahun lalu.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 5:53pm
d