mutakhir

[UPDATE] Laksana tugas dengan tegas - Anwar

Oleh BERNAMA

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Dr Sahruddin Jamal akan melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar Johor yang baru dengan tegas dalam membela nasib rakyat.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana proses pertukaran Menteri Besar Johor berlaku dalam suasana baik dan teratur walaupun mendakwa terdapat sedikit keluh kesah pada peringkat awal.

Katanya, PKR sejak dari awal berpendirian kedudukan kerusi itu adalah milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan menyokong pelantikan Dr Sahruddin selaku Menteri Besar Johor.

“Kita ucap tahniah dan berharap (Dr Sahruddin) dapat meningkatkan prestasi untuk menjaga dasar dan kepentingan rakyat Johor,” katanya ditemui selepas merasmikan Pejabat Keadilan Pahang di Kuantan Avenue, Kuantan hari ini.

Dr Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong hari ini dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-17 menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan 8 April lalu.

Dr Sahruddin menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene hari ini.

Sementara itu dalam ucapannya pada majlis itu, Anwar menyifatkan pengunduran Osman daripada jawatan Menteri Besar sebagai bukti ketegasan kerajaan Pakatan Harapan.

“Mana ada dalam sejarah seorang Menteri Besar hanya 10 bulan... tapi ini berlaku kerana kita berjanji tidak akan tunggu jika ada kesilapan.

“Jika berlaku pada pentadbiran dulu, adakah mereka akan lakukan yang sama?” katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 9:24pm
d