mutakhir

Retromania cipta Malaysia Book Of Records

Oleh Faliq Lajim

RETROMANIA Grand Gathering 2019 (RGG’19) mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya menghimpunkan motosikal klasik model Scrambler di Dataran Pantai Morib, di sini, hari ini.

Himpunan edisi yang diperkenalkan sejak 2014 itu berjaya mengumpul 343 buah motosikal dari seluruh negara yang membabitkan motosikal retro dari era 70an hingga 90an.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, kerajaan Selangor berhasrat menyenaraikan program himpunan peminat motosikal besar-besaran dalam kalender acara pelancongan negara.

Beliau berkata, acara itu dilihat sebagai platform terbaik bagi memperkenalkannya sebagai acara tarikan setiap tahun di Kuala Langat dan Selangor khususnya.

“Dalam tempoh lima tahun penganjurannya juga, RGG berjaya menarik penyertaan antarabangsa termasuk Thailand, Indonesia dan United Kingdom menjadikan acara itu berpotensi untuk terus dilaksanakan.

“Kita akan panjangkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk memasukkan program ini dalam kalender pelancongan tahunan negara sekali gus memberi impak kepada pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian RGG 2019 Malaysia Book Of Records di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohammad Zain A Hamid dan Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharudin.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon Gila-Gila Remaja iaitu Faizal Hussein, Rehana Yassin dan Kamarol Yusoff.

Program dua hari bermula semalam itu berjaya menghimpunkan hampir 30,000 pengunjung yang terdiri daripada peminat motosikal.

Sementara itu, Mohammad Zain berkata, pihaknya komited menjadikan Pantai Morib sebagai lokasi penganjuran acara gah seumpama itu yang mampu menaikkan imej kawasan rekreasi berkenaan.

“Penganjuran ini memberi impak positif terhadap masyarakat, selain membantu merancakkan sosio ekonomi penduduk sekitar daerah ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 9:25pm
d