mutakhir

Pecah pintu selamatkan warga emas

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

POLIS menyelamatkan warga emas lelaki yang dipercayai terjatuh dalam bilik air selepas bertindak pantas memecahkan pintu sebuah rumah di Jalan Taiping- Kuala Kangsar hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, Balai Polis Kuala Kangsar menerima laporan daripada jiran memberitahu mangsa berusia 84 tahun yang tinggal seorang diri tidak keluar rumah sejak semalam dan bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Kuala Kangsar bergegas ke rumah itu sebelum mendapati pintu rumah berkunci.

Katanya, anggota kemudiannya memanggil tiga kali namun tidak dijawab sebelum menjenguk melalui tingkap dan mendapati pintu bilik air terbuka.

“Anggota kemudiannya bertindak memecahkan pintu dan masuk membuat pemeriksaan sebelum mendapati lelaki warga emas terlentang dalam bilik air dalam keadaan tenat namun masih bernafas.

“Pemeriksaan dalam rumah dapati tiada unsur jenayah sebelum mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar oleh ambulans untuk menerima rawatan,” katanya hari ini.

Razali berkata, mangsa tinggal seorang diri selepas kematian isteri dan ada empat anak yang bekerja di Kuala Lumpur.

Katanya, anak-anak mangsa sudah dihubungi mangsa masih menerima rawatan di hospital berkenaan.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 9:44pm
d