mutakhir

Dekat Kedah aje...

Oleh Noorazura Abdul Rahman

ALOR SETAR: Kemeriahan Pesta Songkran disambut penduduk berketurunan Siam di negeri ini pasti menjadi acara dinantikan setiap tahun.

Namun, pesta itu kini turut disertai masyarakat pelbagai kaum dengan acara menyembur air dan menabur bedak wangi.

Di Alor Setar, semalam, kira-kira 300 penduduk pelbagai kaum menyambut Pesta Songkran anjuran Kelab Aerobik Rimba (RAC) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Daerah Kota Setar di Dataran Pahlawan.

Peserta Norhayati Md Rejab, 46, mengakui teruja menyertai pesta itu buat pertama kali dalam hidupnya.

Katanya, pesta itu dapat merapatkan hubungan antara kaum selain masih menjaga batas antara lelaki dan perempuan.

“Walaupun pakaian basah saya sangat seronok. Sesiapa yang datang perlu sporting dan merelakan diri disimbah air dan dipakaikan bedak.

“Selepas ini, saya tidak akan lepaskan peluang menyertai pesta ini dan orang tempatan sudah tak perlu ke Thailand, cukup di sini. Memang seronok dan meriah,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Bagi Som Suai Enang, 29, dia sanggup datang dari Pendang untuk menyertai pesta itu buat kali kedua.

“Semalam (kelmarin) pesta ini disambut di Kampung Tok Set, Pendang. Saya dan rakan membawa pistol air untuk ‘menembak’ peserta lain, mereka ternyata sangat gembira.

“Di samping itu, permainan disediakan penganjur antaranya permainan edar botol air juga menambah lagi kemeriahan pesta,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi RAC Datin Seri Wendy Tham berkata, penganjuran pesta itu pertama kali diadakan bagi mendedahkan kepada penduduk bandar raya mengenai kemeriahan Pesta Songkran.

Menceritakan mengenai sambutan itu, Wendy berkata, sebelum acara pesta bermandikan air diadakan, golongan muda perlu mengikut tradisi, memohon maaf dan meminta restu daripada golongan tua terlebih dahulu dalam sesebuah komuniti.

“Golongan tua dimaksudkan adalah ibu bapa, datuk, nenek dan sami yang perlu diberi penghormatan.

“Mereka akan dimandikan dengan air bersih dan diletakkan bedak di anggota badan sebelum dikenakan pakaian baharu serta bersih,” katanya.

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 7:00am
d