mutakhir

Jadi pengedar di negara orang

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

KEGIATAN lelaki Myanmar mengedar dadah di sekitar daerah ini sejak enam bulan lalu terbongkar apabila ditahan di kawasan hutan paya bakau di Sungai Limau, Sungai Besar, kelmarin.

Suspek ditahan 9.30 pagi oleh pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, ketika serbuan lelaki berusia 33 tahun itu tidak sempat melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan terhadap beg dibawa suspek menemui 77 peket plastik lut sinar mengandungi dadah disyaki heroin seberat 170 gram (g) dan dua peket plastik berisi dadah jenis syabu seberat 5.2 g.

“Selain itu, alat penimbang digital, telefon bimbit dan wang tunai RM259 dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan hasil ujian air kencing negatif dadah.

“Suspek direman selama 13 hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan pada hari sama Nor Azmi berkata, pihaknya menahan seorang lagi lelaki Myanmar di kawasan hutan paya bakau di Sungai Besar.

“Dalam serbuan 8.40 malam, suspek berusia 34 tahun dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan pada beg suspek menemui empat peket plastik lut sinar mengandungi dadah disyaki heroin seberat 43.64 g,” katanya memaklumkan suspek tiada dokumen perjalanan sah.

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 4:25pm
d