mutakhir

100 hilang tempat tinggal [METROTV]

Oleh Erika George

SERAMAI 100 penduduk daripada 30 keluarga di Rumah Panjang Uma Bawang, Sungai Asap, Belaga, hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu Mohamad Meramit berkata, semua mangsa tinggal di dua blok kediaman skim penempatan semula itu.

Katanya, turut musnah dalam kejadian 6 petang itu sebuah rumah yang dijadikan gereja.

“Selepas menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.03 petang, 11 anggota dengan sebuah jentera FRT serta kenderaan EMRS bergegas ke lokasi.

“Lokasi kejadian terletak 200 kilometer dari BBP Bintulu yang memerlukan masa perjalanan lebih dua jam,” katanya.

Beliau berkata, sementara menunggu kehadiran anggotanya, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Asap Belaga diarah mengawal kebakaran.

Katanya, ketika ini anggotanya masih memadam kebakaran bagi mengelak api merebak ke blok kediaman berdekatan.

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 9:17pm
d