mutakhir

Gembira ECRL tak babitkan lokasi PKGS

Oleh Siraj Mohd Zaini

JAJARAN baru Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah bertepatan dengan bantahan Kerajaan Selangor yang tidak bersetuju dengan cadangan laluan membabitkan Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) sebelum ini.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, PKGS adalah aset yang tidak ternilai dan penjajaran semula ECRL dengan tidak mengganggu kawasan itu diterima baik kerajaan negeri.

“Selangor dalam proses menjadikan PKGS sebagai tapak warisan geologi seperti di Langkawi dan ia seharusnya dijaga oleh kerajaan negeri.

“Saya berpendapat jajaran baru ECRL dibuat adalah berdasarkan bantahan kerajaan negeri sebelum ini.

“Antara topik yang dibantah adalah kerana ia membelah Banjaran Titiwangsa sehingga membabitkan PKGS yang menjadi aset tidak ternilai kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Debat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2019 Piala Datuk Menteri Besar Selangor di Universiti Selangor (UNISEL) Bestari Jaya hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, jajaran baru berkenaan juga berjaya mengelakkan beberapa penempatan orang Asli khususnya di Gombak.

“Beberapa lencongan dibuat seperti dari Gombak masuk ke Jelebu, Negeri Sembilan dan beberapa kawasan yang ‘dilanggar’ seperti kawasan orang Asli di Batu 12, Gombak berjaya dielakkan.

“Ia akan memberi manfaat jika diberikan stesen di Gombak tetapi dapat menyelamatkan aset alam sekitar juga sudah sangat baik,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan mengumumkan pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL berjaya dikurangkan RM21.5 bilion berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.

Jajaran baru berkenaan juga dapat mengelak pembinaan terowong sepanjang 18 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa.

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 9:41pm
d