mutakhir

'Syurga' drebar terlarang

Oleh Mohd Rizal Abdullah

KUALA LUMPUR: Puluhan lori sampah dipandu warga asing dikesan kerap berada di sekitar Kampung Sungai Kertas, Batu Cave sekali gus menjadikan kawasan itu ‘syurga’ buat pemandu lori warga asing.

Tinjauan Harian Metro di lokasi berkenaan ternyata mengejutkan apabila lebih 50 lori sampah kebanyakan dipandu warga asing dilihat keluar masuk ‘celahan lorong’ kampung berkenaan setiap hari.

Lori sarat dengan sisa pembuangan sampah itu dipercayai dari pelbagai lokasi di ibu negara sebelum sampah berkenaan dibuang di tapak pelupasan sampah haram berhampiran kampung itu.

Lebih membimbangkan, kebanyakan lori itu turut melalui kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kertas sekaligus mengundang kemalangan.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 38, berkata, kegiatan lori haram itu sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu kerana lokasi kampung ini adalah laluan pintas ke tapak pelupusan sampah.

“Puluhan lori boleh dilihat keluar masuk hampir setiap masa, ada yang dipandu warga asing dan ada warga tempatan,” katanya.

“Semuanya menuju ke beberapa tapak pelupusan sampah berhampiran. Meskipun belum ada kemalangan, ia amat membimbangkan penduduk tambahan lori yang dipandu warga asing,” katanya.

Kampung Sungai Kertas sebelum ini pernah terkenal dengan kejadian runtuhan sampah akibat tapak pembuangan sampah haram di kampung itu pada 2009.

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 7:33am
d