mutakhir

Musa Aman kembali ke DUN

Oleh Suzianah Jiffar

BEKAS Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman hadir buat pertama kalinya pada hari ketiga Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, jam 9.50 pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu tiba beberapa minit selepas ketibaan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ketibaan Musa diiringi beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk ADUN Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai dan ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.

Musa tidak hadir dalam istiadat pembukaan mesyuarat Khamis lalu dan beliau adalah satu-satunya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) daripada UMNO yang masih ada selepas semua rakan seperjuangannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sebelum ini, beliau gagal hadir ke dua sesi sidang DUN yang diadakan tahun lalu dan turut menjadi ADUN terakhir mengangkat sumpah pada 5 September lalu.

Tahun lalu, beliau mendakwa gagal menghadiri mesyuarat dan lewat mengangkat sumpah atas alasan masalah kesihatan.

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 11:12am
d