mutakhir

Lelaki OKU dihukum penjara [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

LELAKI orang kurang upaya (OKU) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan pecah rumah di Parit, 24 Mac lalu.

Tertuduh, Khairul Amri Ulul Azmi, 33, yang kudung kaki kanan selepas terbabit kemalangan pada 2017 mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan, Khairul Amri didakwa melakukan pecah rumah dengan niat mencuri barang iaitu wang tunai berjumlah RM520, satu tabung mengandungi syiling dan wang kertas campur-campur.

Dia juga didakwa mencuri satu jam tangan jenama Casio, tiga rantai leher emas, tiga cincin emas serta satu telefon bimbit dan kesemua barangan serta wang tunai yang dicuri itu dianggarkan berjumlah kira-kira RM10,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di alamat No 70, Kampung Telok Manis, Layang-Layang Kiri, Parit, antara 12 tengah malam hingga 3 pagi, 24 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan yang dilakukan kali kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Afiqah Izzati Mazlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, Khairul Amri yang bekerja sebagai pengutip biji sawit memasuki rumah berkenaan selepas mendapati pintu dapur tidak berkunci sebelum menggeledah dan membawa lari kesemua barangan dan wang tunai.

Sebaik pengakuan bersalah Khairul Amri direkodkan, Azman kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun dan memerintahkan hukuman itu berjalan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 2 April lalu.

Azman turut mengingatkan Khairul Amri supaya memperbaiki diri di dalam penjara supaya boleh menjadi manusia berguna sebaik tamat tempoh hukuman itu.

“Masuk ini bukan saja-saja, tetapi masuk untuk memperbaiki diri, ingat saya pesan ini, dalam penjara nanti ada ustaz-ustaz, belajar agama, selepas ini tidak mahu curi-curi lagi dan keluar menjadi orang berguna,” katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 11:22am
d