mutakhir

Lalok resipi tak menjadi punca kebakaran [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

SUSPEK yang melarikan diri selepas kondominium disewanya di Jalan Paya Terubong, Balik Pulau, terbakar malam kelmarin, diburu polis kerana menjadikan kediaman itu sebagai makmal mini memproses dadah.

Lelaki yang berusia 40-an itu dikatakan baru berjinak-jinak menghasilkan syabu berdasarkan kepada penemuan perkakas dan peralatan memproses dadah yang masih baru.

Malah, suspek yang bergerak secara sendirian dikatakan ‘overdose’ ketika memproses dadah dalam kondominium berkenaan hingga membuatkannya tidak sedarkan diri.

Ketika kejadian, lelaki itu sedang memasak ramuan syabu diciptanya sebelum dapur mengeluarkan asap yang kemudian membuatkan dia lalok.

Kepulan asap memenuhi ruang rumahnya sehingga menimbulkan curiga kepada jiran yang kemudian menghubungi bomba.

Anggota bomba yang tiba terpaksa memecah pintu, namun lelaki terbabit yang tersedar terus mengambil beg galasnya dan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, setakat ini polis sudah mengenalpasti identiti suspek dan sedang memburunya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut polis menemui dan merampas pelbagai peralatan memproses syabu dalam rumah berkenaan.

“Kita berjaya merampas syabu seberat 13.3 gram, cecair dipercayai minyak methamphetamine seberat 28 kilogram dan pelbagai peralatan memproses dadah.

“Kita percaya suspek baru sebulan mencuba memproses dadah dalam rumah yang disewanya,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 12:03pm
d