mutakhir

Makanan percuma untuk penuntut kesempitan wang

Oleh Shahrinnahar Latib

SEMBILAN pengusaha makanan sekitar kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP), di Pekan, menyertai Program MyCafé-Komuniti UMP bagi menaja makanan secara percuma kepada 62 mahasiswa UMP yang kesempitan wang dan memerlukan bantuan.

Program kebajikan itu adalah sebahagian daripada inisiatif UMP dalam membantu mahasiswa selain beberapa program lain seperti Gerobok Rezeki, Program Food For All, Kongsi Rezeki dan UMP Campus Pantry yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim berkata, program itu adalah satu daripada inisiatif dalam program MyGift UMP yang bertujuan untuk menyemarakkan budaya memberi sumbangan dalam kalangan masyarakat setempat.

“MyCafe adalah program yang mana pengusaha makanan yang berhampiran UMP bersetuju membantu mahasiswa UMP terutama mereka yang tinggal di luar kampus dan terbeban dengan masalah kewangan sepanjang mengikuti pengajian di universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sijil penghargaan kepada pengusaha makanan yang terbabit di Dewan Bankuet UMP Pekan, semalam.

Daing Nasir berkata, UMP tidak mengehadkan jumlah sumbangan, malah memberi pilihan kepada pihak pengusaha makanan untuk memutuskan jumlah sumbangan yang akan diberikan.

“Dalam konsep ini mahasiswa terpilih akan diberi makan percuma di kedai makan yang ditetapkan. Saya harapkan program ini dapat memberi manfaat kepada mahasiswa dan pengusaha makanan.

“Malah saya percaya ia akan memberikan pengalaman berharga kepada mahasiswa apabila bergraduasi kelak dan mendoakan pengusaha makanan akan terus dimurahkan rezeki,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif ini juga akan dipanjangkan di UMP Gambang dan pihaknya yakin lebih ramai pengusaha di sekitar Gambang akan menyertai program ini.

Sementara itu, seorang daripada pengusaha makanan, Noresah Kamal, 56, berkata, sejak memulakan perniagaan 11 tahun lalu, warga UMP adalah antara pengunjung di kedainya.

“Sepanjang menjalankan perniagaan di Kampung Marhum, kadang kala mengenali mahasiswa yang mempunyai masalah kewangan. Saya sudah menganggap mahasiswa ini seperti anak-anak saya dan diharapkan sumbangan kecil ini dapat meringankan beban mereka ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 12:58pm
d