mutakhir

Mahal bona sewa ni Jang

Oleh Mohd Amin Jalil

“TAHUN lalu kami bayar sewa hanya RM100 tetapi tahun ini meningkat RM900. Caj ini sangat mahal dan membebankan,” kata peniaga makanan dan minuman, Wan Aziz Wan Abdullah, 45, yang kecewa apabila kadar sewa tapak Bazar Ramadan di Dataran Senawang, Seremban, meningkat sembilan kali ganda.

Menurutnya, caj itu terlalu tinggi buat peniaga kecil sepertinya dan perlu dipertimbangkan semula oleh pihak berkaitan.

Dia yang berniaga di Taman Jasmin, berkata kadar sewa RM900 membabitkan tapak berkeluasan 100 kaki persegi meliputi kemudahan khemah, bekalan elektrik, pembersihan dan kawalan lalu lintas.

“Tidak seperti tahun lalu, caj baru ini mengejutkan kami (peniaga). Bagi tapak berkeluasan 400 kaki persegi pula, kadar sewa adalah RM3,200 berbanding RM1500 sebelum ini,” katanya.

Menurut Wan Aziz, bagi peniaga yang memiliki modal besar, mereka tidak begitu terasa namun bagi peniaga kecil sepertinya perlu mengeluarkan sejumlah wang yang banyak.

“Kami sepatutnya dibantu bukan dibebankan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Peniaga, Danian Amin, 23, mengakui kadar baru sewaan tapak bazar adalah tertinggi pernah dikenakan.

“Bayangkan kadar sewa RM100 meningkat sembilan kali ganda kepada RM900. Jika sewa dinaikkan sehingga RM200 atau RM300 kami tiada masalah tetapi ini mencecah RM900,” katanya.

Peniaga ais kepal itu berkata, dia yang mahu berniaga di bazar itu bulan depan perlu membelanjakan RM1,000 termasuk kos lesen pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, beliau sudah berbincang dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) untuk mengurangkan sewa antara RM700 hingga RM750.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri yakin MPS akan memberi pertimbangan sewajarnya untuk membantu peniaga.

“Tahun lalu terlalu banyak tapak niaga yang dibuka menyebabkan peniaga rugi. Untuk tahun ini antara 350 hingga 400 gerai jualan akan beroperasi di kawasan strategik bagi memastikan peniaga beroleh keuntungan,” katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 2:08pm
d