mutakhir

Kantoi seludup kasut tiruan guna kontena

Oleh Iskandar Shah Mohamed

CUBAAN pihak tidak bertanggungjawab menyeludup kasut tiruan berjenama menggunakan sebuah kontena tidak berhasil apabila dirampas di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, semalam.

Perkara itu dihidu Unit Penguat kuasa dan Siasatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang menjalankan pemeriksaan ke atas kontena berkenaan, kira-kira jam 10 pagi.

Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati semua kasut jenama Nike, Louis Vuitton (LV), Gucci dan Puma itu didapati tiruan dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, semua barangan itu dari China dan dibuat pengisytiharan palsu oleh pihak tertentu.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Selangor, Azizan Abdullah berkata, serahan kasut itu dibuat selepas mendapat pengesahan awal oleh wakil semua jenama berkenaan.

“Sitaan membabitkan sebanyak 900 kasut jenama Nike selain masing-masing 36 jenama LV yang disyaki tiruan.

“Semua rampasan itu dianggarkan berjumlah RM49,150 dan dibawa ke stor simpanan KPDHEP negeri untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azizan berkata, siasatan lanjut bagaimanapun masih sedang dijalankan pihaknya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekal atau menawarkan apa-apa barangan menggunakan perihal dagangan palsu.

“Jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barangan. Manakala bagi individu, ia memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan itu,” katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 6:25pm
d