mutakhir

[UPDATE] Bekas menantu direman seminggu

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

LELAKI dipercayai menyerang dan menetak bekas adik ipar dan ibu mentuanya di Kampung Padang Buloh, Pekan, Sabtu lalu, direman seminggu bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, suspek berusia 37 tahun itu direman bermula hari ini hingga 23 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Soal siasat akan dijalankan ke atas suspek, sebaik kertas siasatan dilengkapkan kita akan dapatkan kebenaran timbalan pendakwa raya untuk tuduh di mahkamah.

“Setakat ini kita percaya motif suspek adalah dendam dan tidak berpuas hati dengan keluarga mangsa yang menjadi punca tindakan suspek melakukan serangan itu,” katanya hari ini.

Semalam, suspek ditahan di sebuah rumah di Malim, Melaka 1 pagi selepas empat hari diburu.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, suspek bertindak mencederakan bekas adik iparnya hingga menyebabkan mangsa cedera di perut dan tangan selepas ditetak menggunakan pisau.

Lelaki itu turut menyerang bekas ibu mentuanya menyebabkan wanita itu cedera di kepala dan tangan kanan sebelum bertindak melarikan diri menggunakan motosikal.

Berita berkaitan

Suspek tetak bekas adik ipar ditahan

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 10:43am
d