mutakhir

Dua penguat kuasa Imigresen direman tiga hari [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

DUA penguat kuasa Jabatan Imigresen Negeri Sembilan direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta dan menerima rasuah RM21,000.

Kedua-dua lelaki berusia 31 dan 35 tahun itu direman tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Mereka yang memakai pakaian lokap SPRM dibawa ke Mahkamah Khas Reman di Seremban 10 pagi bagi permohonan reman oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Khairi Abdul Karim di hadapan Majistret Rahimah Rahim.

Mereka diwakili peguam Muhammad Zahid Ahmad.

Terdahulu, kedua-duanya ditahan pegawai SPRM di Bahagian Penguat kuasa jabatan itu di Seremban 1 tengah hari semalam.

Selepas itu, SPRM melakukan pemeriksaan dan menemui wang RM5,000 di rumah lelaki pertama dan RM8,950 di rumah lelaki kedua.

Wang itu dipercayai diterima daripada seorang lelaki iaitu majikan kepada empat warga Indonesia yang ditahan imigresen dalam serbuan di sebuah restoran di Jalan Paroi-Senawang, Seremban Disember lalu.

Empat pekerja itu ditahan kerana tidak mempunyai permit kerja sah dan majikan diminta hadir ke pejabat imigresen.

Mereka kemudian meminta wang rasuah RM22,000 daripada lelaki itu dipercayai sebagai dorongan untuk tidak menuduh pekerja terbabit di mahkamah dan tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu.

Lelaki terbabit dikatakan menyerahkan wang dua kali masing-masing RM6,000 dan RM15,000 di pejabat penguat kuasa itu pada 10 dan 25 Januari lalu.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 12:22pm
d