mutakhir

KAGAT pantau askar

Oleh Mohd Khidir Zakaria

KOR Agama Angkatan Tentera (KAGAT) akan memantau anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengelak mereka terjerumus aktiviti penyelewengan akidah.

Pengerusinya Mejar Jeneral Datuk Kamaruddin Mamat berkata, pihaknya akan terus memantau dan memberi penerangan di setiap kem tentera supaya tidak berlaku kes anggota terbabit ajaran sesat.

Bagaimanapun, Kamaruddin tidak menafikan ada anggota tentera terbabit ajaran sesat, namun ia dalam skala yang kecil.

“Sebagai benteng pertahanan negara, setiap anggota perlu mempunyai jati diri dan kefahaman agama yang kukuh. Program seperti ceramah dan kelas agama adalah penting supaya mereka sentiasa bersedia jika negara diancam.

“Di darat, laut (TLDM) dan udara (TUDM) kita ada pegawai agama di setiap pasukan. Mereka ini yang akan memantau setiap anggota. Setakat ini keadaan terkawal,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun KAGAT ke-34 di Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI), Port Dickson, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan Pengurusan, Brigadier Jeneral Datuk Mustapa Abdul Manap.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, setiap anggota tentera beragama Islam perlu menghadiri sekurang-kurangnya 857 jam kelas agama setahun.

“Manakala, yang bukan beragama Islam mereka perlu menghadiri kelas pendidikan moral supaya sahsiah sebagai anggota tentera sentiasa terjaga.

“Untuk kenaikan pangkat pula, ujian agama adalah syarat lulus bagi anggota lain-lain pangkat,” katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 2:33pm
d