mutakhir

Marilah kalau berani...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEMPADAN Malaysia-Thailand di negeri ini terutama Bukit Kayu Hitam dan Kota Putra, Durian Burung, dikawal ketat daripada penyeludupan barangan serta pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan semua agensi di kawasan sempadan bagi memastikan tiada pembolosan berlaku.

“Setakat ini, saya boleh katakan kawasan sempadan di negeri ini selamat walaupun ada yang cuba menggunakan jalan tikus atau perairan yang ada, ” katanya mengulas mengenai langkah pencegahan polis Kedah dalam menangani masalah kemasukan PATI ke negara ini.

Sebelum ini, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah mengesyaki ada cubaan kumpulan etnik Rohingya memasuki negara ini melalui sempadan namun disebabkan kawalan ketat pihak berkuasa, mereka gagal berbuat demikian.

Terdahulu, Zainuddin merasmikan Program Derma Darah dan Lawatan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, sempena Hari Polis ke-212.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mat Kasim Karim dan Timbalan Pengarah Perubatan 1 HSB, Dr Farique Rizal Abdul Hamid.

Dalam program itu, seramai 350 pegawai dan anggota polis menderma darah di ruang lobi HSB untuk membantu menambah tabung darah di hospital berkenaan.

Sementara itu, Zainuddin berkata, beliau akan menumpukan sepenuhnya matlamat bagi memastikan kadar jenayah di negeri ini berkurangan selepas hampir sebulan menjawat tugas sebagai Ketua Polis Kedah.

Beliau berkata, pihaknya akan memfokuskan beberapa kes traumatik seperti samun berkumpulan atau menggunakan senjata, sindiket dan perjudian, pengedaran dadah serta samseng jalanan.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 3:25pm
d