mutakhir

Mazda RX-8, Suzuki GSX-R murah-murah

Oleh Norizuan Shamsuddin

KERETA sport Mazda RX-8 dan beberapa kenderaan mewah termasuk motosikal berkuasa tinggi Suzuki GSX-R antara tarikan lelongan awam kenderaan akan dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) hujung bulan ini.

Pengarah JPJ WPKL Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, pihaknya akan mengadakan satu lelongan awam pelupusan kenderaan lucut hak di Dewan Merpati JPJ WPKL, bermula jam 9 pagi pada 30 April.

Menurut Ismail, menerusi lelongan awam itu sebanyak 106 unit kenderaan pelbagai model ditawarkan kepada pembida berminat.

“Antara kenderaan dilelong membabitkan 75 kereta, 28 motosikal, dua lori dan sebuah van.

“Kenderaan ini akan dipamerkan untuk pemeriksaan awam pada 26 dan 29 April bermula jam 10 pagi hingga 3.30 petang,” katanya ketika sidang media Majlis Sambutan Hari JPJ Ke-73 Peringkat WPKL, hari ini.

Ismail berkata, keadaan kenderaan dilelong adalah seperti dilihat ketika pemeriksaan awam.

“Butiran dan keterangan lanjut mengenai jualan lelong ini boleh disemak melalui Dokumen Lelong yang boleh didapati di Unit Kewangan, Bahagian Pengurusan JPJ WPKL mulai 15 hingga 29 April berharga RM50 senaskah.

“Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi Unit Sita JPJ WPKL di talian 03-4145 0800 sambungan 0845 dan semua maklumat tertakluk kepada dan perubahan dari masa ke semasa,” katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 3:27pm
d