mutakhir

Tujuh ditahan bekerja tidak sah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TUJUH warga Thailand yang bekerja secara tidak sah di restoran tom yam sekitar Kubang Pasu ditahan dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), malam tadi.

Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaludin berkata, seramai 21 pegawai Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kedah dengan kerjasama 17 anggota Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) terbabit dalam operasi itu.

Katanya, ia bermula 8.15 malam hingga 11.40 malam hasil maklumat orang awam dan risikan pihaknya.

“Seramai 100 orang diperiksa dalam operasi ini. Tujuh warga Thailand membabitkan lima lelaki dan dua wanita berusia 16 hingga 39 tahun ditahan.

“Siasatan awal mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tinggal lebih masa dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, mereka ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 4:46pm
d