mutakhir

Ibu panik bayi terperangkap dalam kereta

Oleh Siraj Mohd Zaini

SEORANG ibu menempuh detik cemas apabila bayi lelakinya berusia lapan bulan terperangkap dalam kereta ketika dia memberhentikan kenderaan di Seksyen 8, Shah Alam, hari ini.

Difahamkan, wanita itu bertemu rakannya di hadapan sebuah rumah di kawasan itu dan meninggalkan bayinya dalam kereta Perodua Myvi dinaikinya.

Wanita terbabit hanya meninggalkan bayinya itu beberapa minit sebelum kembali semula ke kenderaannya, namun panik selepas gagal membuka pintu kereta.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Ahmad Subhan Mohamed berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 9.35 pagi.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai bomba dikerah dalam operasi berkenaan.

“Bayi lelaki itu didapati berada di tempat duduk penumpang depan kereta berkenaan, namun sedang lena tidur dalam kerusi bayi,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Kata Ahmad Subhan, pihaknya membuka pintu kereta itu menggunakan peralatan khas.

“Bayi berkenaan berada dalam keadaan selamat dan dibawa keluar sebelum diserahkan kepada ibunya,” katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 5:05pm
d