mutakhir

Kantoi sambut hari jadi menu dadah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

ANJUR sambutan hari jadi dengan syabu dijadikan ‘hidangan’ istimewa kepada rakan.

Itu aktiviti dilakukan dua beradik lelaki berusia 24 dan 26 tahun di sebuah rumah di Air Kuning Selatan, Tampin.

Bagaimanapun, aktiviti itu terbongkar apabila sepasukan penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan melakukan serbuan di rumah berkenaan dan menahan empat lelaki hari ini.

Pengarah AADK negeri, Nazira Sadiron berkata, pihaknya melakukan serbuan 1.30 pagi selepas menerima aduan orang awam berhubung aktiviti penagihan dadah di kawasan itu.

Menurutnya, semua lelaki berusia antara 24 hingga 31 tahun terbabit sedang tidur dan terkejut dengan kehadiran pegawai penguat kuasa AADK yang membuat pemeriksaan.

“Hasil soal siasat mereka mengaku baru saja mengambil dadah bagi meraikan hari jadi salah seorang daripada mereka dan sedang khayal.

“Ujian saringan air kencing dijalankan ke atas empat lelaki terbabit mendapati semua positif syabu,” katanya.

Katanya, AADK turut menemui dua paket syabu 4.4 gram di dalam bilik dan sepaket syabu (13 gram) serta dua paket heroin (55 gram) di dalam sebuah kereta.

Nazira berkata, semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B serta Seksyan 15(1)(a) akta sama.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 5:26pm
d