mutakhir

Bersemadilah dengan tenang

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

URUSAN pengebumian seorang wanita Cina beragama Islam di Taman Cheng Perdana, Melaka, diselesaikan secara baik antara pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) negeri dan keluarga.

Allahyarhamah Siti Sarimah Mary Ng, 59, yang meninggal dunia pada 8 April lalu, dikatakan sudah memeluk Islam pada Mei 2016 dan berdaftar di negeri ini.

Pengarah JAIM, Md Azhan Samat berkata, urusan memandikan dan mengkafankan jenazah dilakukan di Masjid al-Huda, Tambak Balai Panjang, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bidadari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jelutung.

Katanya, tidak berlaku perebutan antara keluarga arwah dan pihak JAIM ketika menguruskan jenazah selepas menerima maklumat sebenar membabitkan dokumen pengislamannya lengkap dan diselesaikan secara rundingan baik.

“Setakat dimaklumkan, keadaan sebenar berlaku apabila kebanyakan ahli keluarga arwah masih tidak mengetahui status pengislamannya sehingga meninggal selain faktor anak yang tunduk kepada arahan ahli keluarga lain.

“Selepas pihak berwajib dan MACMA negeri menerima maklumat mengenai kematian ini, kami menyelesaikan perselisihan faham secara diplomasi dan damai bersama keluarga arwah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, ahli keluarga termasuk anak arwah juga hadir memberi kerjasama sepanjang proses pengurusan jenazah di masjid dan di tanah perkuburan.

Terdahulu, satu video berdurasi tujuh minit 25 saat dipercayai membabitkan pihak JAIM dan MACMA negeri mengambil jenazah pada acara pengebumian secara bukan Islam di Taman Cheng Perdana menjadi tular selepas dimuat naik di laman sosial, tetapi akhirnya rakaman berkenaan dipadamkan pemilik akaun.

Sementara itu, sumber MACMA mendakwa, masyarakat Cina di seluruh negara mengutuk pihak yang memuat naik dan menularkan video berkenaan di laman sosial.

Katanya, keadaan itu menyebabkan keluarga arwah dan perniagaan mereka terjejas termasuk akan membuat laporan berhubung fitnah berkenaan.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 5:41pm
d