mutakhir

'Ketegaq' punca imam dipecat

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KERAJAAN negeri Kedah menegaskan pihaknya tidak sewenang-wenangnya memecat imam masjid tanpa menjalankan siasatan telus terhadap salah laku mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri Datuk Dr Ismail Salleh berkata, beliau kecewa dituduh sebagai pembohong oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membabitkan pemecatan imam di sebuah masjid di Sik.

Katanya, pemecatan imam berkenaan dilakukan selepas beberapa kali Pejabat Agama Daerah Sik memberi peringatan kepadanya supaya tidak menjemput ahli politik berceramah di masjid.

“Kerajaan negeri menamatkan perkhidmatan beliau (imam) pada 1 April baru-baru ini selepas mula bertugas sebagai imam pada 1997, tindakan itu diambil selepas beliau beberapa kali tidak mendengar nasihat dan melanggar arahan pejabat agama.

“Ceramah itu berlangsung pada 9 Februari lalu, tiga hari sebelum itu (Rabu) pegawai agama menghubungi beliau supaya membatalkan ceramah daripada ahli politik terbabit dan meminta ia diadakan di tempat lain selain masjid.

“Keesokannya (Khamis) beliau dipanggil ke pejabat agama dan diberi nasihat yang sama,” katanya dalam sidang media berhubung isu itu di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Ismail berkata, imam berkenaan tidak mahu menerima arahan itu dan mengaku dirinya ‘ketegaq’ (degil).

Katanya, pejabat agama mengeluarkan surat arahan supaya dia membatalkan ceramah itu pada hari sama (Khamis) namun ia tetap diteruskan seperti dirancang imam berkenaan.

“Selain itu, imam berkenaan didapati tidak membaca khutbah Jumaat disediakan oleh jabatan agama, malah pada hari Sabtu ceramah itu juga diteruskan.

“Ia ternyata melanggar peraturan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dan beliau sendiri mengaku tidak mengikut arahan,” katanya.

Ismail berkata, pihaknya mengeluarkan surat menamatkan perkhidmatan imam berkenaan dengan perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Beliau berharap, isu itu tidak dipanjangkan pihak tertentu kerana ia sudah dijelaskan ketika sidang DUN berlangsung kelmarin, selepas menjawab soalan tambahan ADUN Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Semalam, selepas sidang DUN berakhir, Muhammad Sanusi membuat sidang media mendakwa Ismail berbohong mengenai isu pemecatan imam berkenaan.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 5:42pm
d