mutakhir

Dari Paris ke Pulau Duyung [METROTV]

Oleh Helmy Abd Rahman

HAMPIR 50 tahun lalu, dia menjejakkan kaki ke Pulau Duyung, Terengganu buat pertama kali bagi menempah kapal layar bagi membolehkannya belayar ke sekeliling dunia.

Namun, takdir menentukan dirinya menjadi anak Pulau Duyung dan berkahwin dengan anak imam.

Christine Rohani Longuet, 75, berkata, dia meninggalkan kampung halamannya di Paris untuk mendalami sendiri cara pembuatan bot daripada tukang bot mahir di Pulau Duyung pada 1971.

“Saya sangat meminati dunia pelayaran serta pembuatan bot dan takdir membawa saya ke Pulau Duyung selepas terbaca dalam sebuah buku berbahasa Perancis mengenai tukang bot mahir yang ada di kampung ini.

“Sebaik sampai, saya tertarik seni bina rumah tempatan di sini yang begitu tinggi nilai estetikanya serta falsafah yang menjadi amalan orang Melayu selain keramahan mereka.

“Saya juga terpikat dengan keindahan dan alam semula jadi ditambah ketenangan di Pulau Duyung ini yang akhirnya membuatkan saya mengambil keputusan tinggal di sini,” katanya ditemui di rumahnya hari ini.

Ibu lapan anak berusia 31 hingga 54 tahun itu berkata, selepas membuat tempahan kapal layar di Pulau Duyung, dia berlayar sehingga ke Vietnam namun perjalanannya tidak dapat diteruskan berikutan perang yang berlaku di negara itu.

“Saya terpaksa berpatah balik ke Pulau Duyung dan dijadikan cerita, saya bertemu suami, Wan Othman Wan Abdullah, 66, yang juga anak imam di sini,” katanya yang mempunyai 26 cucu.

Menurutnya, ‘nok beri jadi’ adalah antara ungkapan dalam dialek Terengganu yang paling digemarinya.

Sememangnya ungkapan yang membawa maksud buat sesuatu sehingga berhasil itu begitu sebati dengan dirinya.

Mana tidaknya, Rohani memiliki bakat dan keistimewaan yang jarang dimiliki orang lain apabila mampu menghasilkan rekaan bot, menulis buku, menolong bidan kampung menyambut bayi lahir, pengendali rumah tumpangan, mempunyai ijazah sarjana dalam seni bina dan kini mengikuti pengajian PhD di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam etnobotani.

“Saya menghasilkan rekaan tujuh kapal yang dibina suami dan turut terbabit dalam usaha sama dengan tukang bot mahir di Pulau Duyung antaranya Jun Bahtera yang disiapkan pada 1980.

“Saya turut mengendalikan rumah tumpangan yang diusahakan suami iaitu Awi’s Yellow House yang dibina di pinggir kawasan paya bakau Sungai Terengganu.

“Antara buku yang saya tulis pula ialah Puisi Duyung Pulau Rakyat, koleksi puisi tempatan dan Amanah: Journey An Architect iaitu buku mengenai hasil arkitek tempatan, Nik Mohamed Mahmood,” katanya.

Mengenai kejadian kebakaran di gereja Notre Dame di Paris, Rohani berkata, dia amat sedih kerana bukan saja ia bangunan bersejarah malah dia mempunyai nostalgia peribadi kerana sering melintasi bangunan itu ketika masih menetap di Paris.

“Rumah saya di Paris agak dekat dengan Notre Dame dan boleh dikatakan hampir setiap hari saya lalu di situ,” katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 5:53pm
d