mutakhir

Kelindan maut dihempap lori

Oleh Adnan Ibrahim

KELINDAN maut dihempap lori dinaikinya manakala empat lain cedera selepas lori bermuatan ayam hilang kawalan lalu terbalik dalam kemalangan di Kilometer 52.9 (arah utara) Lebuhraya Utara-Selatan di Kluang 1.20 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, mangsa Ahmad Farhan Aminuddin Alwee,18, bersama pemandu lori, Syamsul Anuar Shahri, 34, dalam perjalanan menghantar ayam hidup dari Kluang ke Johor Bahru.

Katanya, apabila tiba di lokasi pemandu lori dipercayai hilang kawalan sebelum lori dipandunya terbabas ke tengah jalan dan melanggar pembahagi jalan menyebabkan lori terbalik dan memasuki laluan bertentangan.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa tercampak keluar sebelum dihempap lori menyebabkannya parah di badan dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pada masa sama, Proton Savy dipandu penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) Muhammad Azib Ahmad Zabid, 20, bersama dua rakannya dari Johor Bahru ke utara tiba di tempat kejadian dan tidak sempat memberhentikan kenderaan lalu melanggar lori yang terbalik itu,” katanya hari ini.

Mohd Abduh berkata, akibat kejadian itu semua penuntut termasuk pemandu lori mengalami kecederaan dan dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk rawatan lanjut manakala mangsa dirujuk ke Jabatan Forensik hospital sama untuk bedah siasat.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. “Berikutan itu, kami memohon kerjasama pengguna yang menyaksikan kejadian ini supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 6:19pm
d