mutakhir

Konvoi sambil meragut

Oleh Badrul Kamal Zakaria

EMPAT sekawan sanggup berkonvoi motosikal Yamaha Y15ZR sejauh lebih 100 kilometer ke Muar untuk berlibur dan meragut Sabtu lalu.

Bagaimanapun kecekapan polis berjaya menahan tiga daripada empat lelaki itu di Cheras, Kuala Lumpur dan Rawang, Selangor dalam tempoh 72 jam selepas jenayah dilakukan.

Pada masa sama, polis giat memburu seorang lagi lelaki dikenal pasti Mohd Fariezzuan Shah Che Arif atau ‘toncet’, 27, beralamat terakhir di Flat Sri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, semua suspek dipercayai terbabit dalam tiga kes ragut di Muar Sabtu lalu termasuk insiden membabitkan seorang wanita di Jalan Pesta, Bakri yang tular di media sosial.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar membuat tangkapan terhadap dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun dalam dua serbuan berasingan di Cheras, Kuala Lumpur pada 15 April lalu.

“Mereka direman sehingga 22 April ini bagi membantu siasatan.

“Pada masa sama, seorang lagi suspek berusia 24 tahun ditahan dalam satu serbuan di Rawang, Selangor, pagi tadi. Suspek akan dipohon reman untuk siasatan lanjut.

“Selain menahan suspek, kami merampas tiga motosikal Yamaha Y15ZR, pakaian serta topi keledar yang digunakan dalam tiga kes berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di IPD Muar hari ini.

Menurutnya, pada masa sama polis masih menjalankan operasi bagi mengesan seorang suspek yang dikenal pasti terbabit dalam kejadian itu.

Sabtu lalu, penduduk sekitar daerah ini gempar apabila video berdurasi enam saat memaparkan seorang wanita berjalan kaki diragut dan diseret oleh lelaki bermotosikal.

Video itu diambil dari kamera litar tertutup (CCTV) menyebabkan penduduk bimbang kejadian sama berulang.

Zaharudin berkata, semua suspek dipercayai terbabit dalam tiga kes iaitu di sebuah stesen minyak di pusat bandar, di Jalan Pesta, Bakri dan di Jalan Mega, Bakri.

Katanya, siasatan mendapati empat lelaki terbabit berkonvoi motosikal ke Muar dari Lembah Klang untuk melancong tetapi kemudiannya bertindak meragut.

“Kes pertama berlaku di stesen minyak di pusat bandar tetapi suspek gagal mendapat apa-apa barang.

“Kejadian kedua berlaku di Jalan Pesta, Bakri, membabitkan wanita tetapi gagal dan wanita itu juga hanya mengalami kecederaan ringan.

“Dalam cubaan ketiga di Jalan Mega, Bakri, suspek berjaya melarikan wang tunai RM4,500. Semakan rekod mendapati tiga daripada empat suspek ada rekod jenayah lampau dan mereka bukan penduduk daerah atau negeri ini.

“Dengan tumpasnya kumpulan ini, IPD Muar berjaya menyelesaikan tiga kes ragut yang berlaku di daerah ini dalam tempoh 72 jam,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 6:31pm
d