mutakhir

Tamparan RM112,040

Oleh Muhamaad Razis Ismail

KOTA BHARU: “Alhamdulillah saya bersyukur kerana nasib sudah terbela,” kata buruh Mohd Faizu Ramli, 32, selepas Mahkamah Sesyen di sini, semalam memerintahkan polis dan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi kepadanya sebanyak RM112,040.

Hakim Mohd Rosly Muhammad Nawi memerintahkan defendan pertama, Lans Koperal Mohd Erman Ahmad, defendan kedua Ketua Polis Daerah Tumpat ketika itu, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga membayar ganti rugi itu kepada Mohd Faizu.

Mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi am RM12,000, RM100,000 lagi bagi ganti rugi teladan dan ganti rugi khas berjumlah RM40.

Mohd Faizu ketika ditemui di luar mahkamah berkata, kejadian itu menyebabkan dia mengalami masalah pendengaran sehingga kini.

“Selepas kejadian itu, saya tidak boleh mendengar seperti biasa dan telinga sering berdengung menyebabkan rasa tidak selesa.

“Kini keadaan bertambah baik dan masih menjalani rawatan susulan di Hospital Tumpat,” katanya.

Dalam kejadian pada 17 April 2015, Mohd Faizu cedera di telinga kiri selepas ditampar anggota polis sehingga mengalami masalah pendengaran.

Mohd Rosly dalam alasan penghakimannya berkata, defendan pertama gagal membuktikan tidak berada di tempat kejadian selepas dia menafikan berada di lokasi kejadian.

“Pihak defendan juga gagal memanggil pegawai penyiasat asal dan defendan pertama sebagai saksi mereka selain gagal mengemukakan dokumen pocket diary serta station diary defendan pertama bagi membuktikan dakwaan bahawa defendan pertama itu tidak berada di tempat kejadian.

“Semua defendan mempunyai tanggungan secara bersama terhadap tindakan defendan pertama menampar plaintif,” katanya.

Mohd Faizu diwakili Shaharuddin Mohamed, manakala pihak defendan diwakili peguam Nik Nur Adila Mat Zaidan.

Mohd Faizu memfailkan samannya pada Mac 2018 berjumlah RM300,000 menerusi Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz sebelum proses perbicaraan sebanyak dua kali sejak dua bulan lalu.

Mengikut fakta kes, jam 5.30 petang pada 17 April 2015, plaintif pergi ke rumah bapanya selepas mendengar bunyi bising sebelum bertanya kepada defendan pertama.

Defendan pertama secara tiba-tiba naik angin memarahi plaintif dengan mendakwa menghalang tugasnya, sebelum menampar di bahagian telinga kiri plaintif sehingga menyebabkan kecederaan teruk, mengeluarkan darah serta alami masalah pendengaran.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 5:30am
d